Wednesday, August 25, 2010

SKIM CEPAT KAYA


DISEDIAKAN OLEH: MOHD HAFIZUL BIN MD NOOR
NO MATRIK: 205147
Pengenalan
Aktiviti ini ialah aktiviti pengambilan deposit wang tanpa lesen iaitu individu atau pihak penganjur tidak mendapat kelulusan mengambil deposit wang daripada individu yang dilusluskan oleh Bank Negara Malaysia. Pengambilan deposit secara haram yang sedemikian biasanya dikenali sebagai aktiviti “skim cepat kaya” di mana kebiasaannya, sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya bergantung kepada terma-terma dan syarat  bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan  balik dengan faedah atau keuntungan yang tinggi seperti dijanjikan bagi setiap wang yang didepositkan selalunya lebih tinggi daripada kadar faedah yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen.
Penganjur ini juga pandai menyembunyikan diri daripada dihidu oleh pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti di merata tempat di seluruh Malaysia, yang mana setiap minggu modus operandinya akan bertukar. Akibat pelaburan sindiket seperti ini, seramai 150,000 pelabur yang dikesan menanggung kerugian lebih RM300 juta kerana sikap tamak mereka untuk mendapat 'wang besar' atau ‘durian runtuh’ dengan menyertai skim cepat kaya atau skim pelaburan haram di seluruh negara sejak tahun lalu. Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata sejak Januari tahun lalu hingga kini, lapan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. (http://fraudalert.bnm.gov.my)

Punca-Puncanya
Sindiket Skim Cepat Kaya selalunya akan menunjukkan status yang mewah setiap kali pertemuan, sindiket atau penganjur akan membawa kereta- kereta mewah yang bernilai ratusan ribu ringgit,  antaranya BMW 5 series, Nissan GTR Skyline, Mitubishi Evolution, Nissan Fairlady, serta BMW Z4 Spider dan meletakkannya berhadapan dengan  tempat pertemuan ahli- ahli baru. Helah ini sering digunakan untuk memancing ahli- ahli baru dengan menggambarkan bahawa keuntungan yang diperoleh sangat lumayan. Sehingga kini, ratusan ribu orang telah terjerumus dalam kegiatan pelaburan piramid ini.
Lama dahulu skim ini telah dipelopor oleh  ‘ Pak Man Telo’ iaitu 17 tahun yang lalu yang mana pelaburannya sehingga  mencecah RM99 Juta dalam satu skim sahaja. Yang mana anggota ahlinya terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, pesara, ahli perniagaan sehinggalah penduduk kampung yang berada di pendalaman. Kebanyakkan skim ini menawarkan pulangan sehingga 80 peratus daripada wang pelaburan. Janji-janji, faedah, serta pulangan atau keuntungan yang tinggi ini yang mengakibatkan orang ramai tertarik untuk turut serta melabur di dalam skim yang dianjurkan. Tiada jaminan bahawa pihak penganjur boleh terus membayar pulangan yang tinggi.
Pada permulaan skim tersebut, penganjur menggunakan wang deposit yang diterima daripada pendeposit baru untuk membayar pulangan atau wang pokok pendeposit yang sebelumnya. Pada amnya, para penganjur skim cepat kaya tidak melaburkan deposit yang diterima ke dalam pelaburan atau perusahaan yang mendatangkan keuntungan yang sama atau lebih tinggi. Oleh yang demikian, mereka tidak dapat terus menanggung pembayaran pulangan yang tinggi kepada pelabur yang sedia ada. Jika tiada deposit baru diterima oleh penganjur atau skim ini dibatalkan, ianya akan gagal dan para pelabur atau pendeposit akan kehilangan wang mereka kerana penganjur akan menutup sindiket tersebut disebabkan tidak mampu memberikan faedah kepada pelabur.
Selain itu, ada juga kalangan masyarakat kita yang menyertai skim ini kerana ingin mencuba dan menguji kehandalan mereka dalam menepis bahana Skim Cepat Kaya. Oleh itu, mereka telah `menyediakan payung sebelum hujan’. Dengan kata lain, mereka ini  akan melabur dalam satu-satu skim untuk seketika sahaja. Apabila untung diperoleh, mereka akan lari dan menyertai Skim Cepat Kaya yang lain pula. Tindakan mereka yang berterusan ini menjadikan mereka sentiasa ‘menang’. Pelabur jenis ini tidak akan mudah `gelap mata’ dengan keuntungan yang diterima dan sanggup berhenti daripada menyertai Skim Cepat Kaya seandainya mereka rasakan perlu berbuat begitu. Masyarakat juga lebih cenderung memilih skim ini daripada skim yang ditawarkan oleh kerajaan seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), kerana pulangannya rendah dan terpaksa menunggu sehingga setahun untuk memperoleh keuntungan. (http://www.bharian.com.my)
Kesan-Kesannya
Terdapat kesan-kesan buruk yang menimpa para pelabur yang terlibat dalam Skim Cepat Kaya. Kesan paling ketara ialah apabila pelabur itu ditimpa kerugian apabila pusat Skim Cepat Kaya yang dilaburi diserbu polis. Akhirnya, mereka hanya mendapat rasa malu yang menebal sebagai pulangan pelaburan. Sesetengahnya pula terpaksa lari atau bersembunyi apabila kerap dikunjungi pemiutang. Lebih parah lagi apabila ada pelabur menjadi sasau dengan asyik menghitung daun kayu yang disangkakan wang, menjual rumah, tanah dan kereta untuk dijadikan pelaburan, akhirnya ditpu oleh penganjur skim cepat kaya. Begitulah tekanan yang dihadapi oleh mereka yang kecundang dalam skim ini.
Skim Cepat Kaya juga boleh mengeruhkan hubungan antara keluarga, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Akibat gagal dalam Skim Cepat Kaya, berlakunya pergaduhan suami isteri  dan menyebabkan penceraian berlaku. Tidak kurang juga mentua dan ipar-duai, kawan- kawan yang menjadi orang bawahan (downline) yang saling bermasam muka sesama sendiri. Semua ini berlaku kerana masing-masing berasa tertipu apabila duit yang dilaburkan telah hangus begitu sahaja. Pertelingkahan juga boleh terjadi sesama kawan dan jiran kerana masing-masing menganggap diri mereka telah diperdaya untuk melabur. Fenomena-fenomena ini sudah pasti boleh membawa kekeruhan hubungan dalam masyarakat. (http://www.ar-rifke.com )
Kesimpulan
Kesimpulannya, semua pihak berkuasa seperti Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan tanggungjawab selaras peruntukan undang-undang sedia ada untuk membanteras sindiket Skim Cepat Kaya kerana mereka yang menjalankan Skim Cepat Kaya melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989. Mereka yang sabit dengan kesalahan dibawah akta tersebut boleh dihukum hukuman penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya.
Skim seperti ini selalunya lebih benyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan, tetapi masyarakat sering kali ‘ gelap mata’ apabila berkaitan dengan wang. Langkah- langkah yang perlu dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab ialah membuat kempen kesedaran kepada masyarakat seperti penjelasan tentang bahayanya skim seperti ini serta helah penipuan sindiket. Penguatkuasa juga wajar diberikan latihan dan pendedahan terkini untuk meningkatkan kepakaran dan keupayaan membanteras segala bentuk skim cepat kaya. (www.utusan.com.my)


No comments:

Post a Comment