Tuesday, August 24, 2010

PENYELUDUPAN

DISEDIAKAN OLEH: NOOR FARIDAH BINTI MOHD ARIFFIN
NO MATRIK: 205068
Pengenalan
Penyeludupan ialah membawa masuk barang-barang bercukai atau larangan ke Malaysia atau keluar dari Malaysia secara tidak sah dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang Negara. Terdapat dua jenis penyeludupan iaitu penyeludupan secara langsung dan penyeludupan secara Frod. Penyeludupan secara langsung ialah membawa keluar atau masuk barang berduti atau larangan tanpa mengikrar kepada kastam. Penyeludupan secara Frod pula bermaksud mengikrar butiran barang seperti harga, kuantiti, berat dan jenis barangan yang tidak mengikut diskripsi sebenarnya bertujuan daripada dikenakan cukai yang tinggi atau mengelak dari syarat-syarat kawalan seperti lesen, permit pengimportan atau permit pengeksportan. Jenis-jenis komoditi utama yang kerap diseludup seperti rokok, minuman keras, gula, minyak diesel dan sebagainya. (Sumber: 2005-2010 laman web kastam Perlis)
Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi
Faktor geografi antara Negara Malaysia dengan Negara jiran merupakan salah satu punca yang menyebabkan berlakunya penyeludupan. Seperti yang dipetik daripada Bernama (2008) yang menyatakan bahawa sempadan yang memisahkan Negara ini dengan Thailand dan sebahagian besar geografi politik kedua-dua Negara banyak dipengaruhi oleh aliran Sungai Golok sepanjang 95 kilometer. Sungai sempit dengan kelebaran hanya beberapa meter yang banyak didindingi hutan dan belukar ini mudah sahaja diseberangi dengan mengharung, berenang atau bersampan yang cuma mengambil masa beberapa minit. Ada yang beranggapan bahawa, tanpa kegiatan penyeludupan, ekonomi dikawasan sempadan kedua-dua Negara akan lumpuh dan penduduk setempat akan mangalami masalah dengan peluang pekerjaanyang terbatas dan keadaan sempadan pemisah itu memudahkan mereka menjalankan urusan penyeludupan dan memboloskan diri daripada tindakan penguatkuasa.
Punca penyeludupan seterusnya ialah berkaitan dengan undang-undang perairan antarabangsa. Komander Briged Tenggara Pasukan Am (PGA), Datuk Abdul Rahim Jaafar turut mengakui faktor Sungai Golok ialah antara masalah yang dihadapi pihaknya, bagi menangani masalah penyeludupan di sempadan Negara. Menurut beliau, barang seludup mudah dibawa masuk ke Negara jiran melalui rumah atau premis yang dibina terlalu hampir dengan tebing Sungai Golok dan ia berkait rapat dengan peruntukan rizab tanah sungai dan penyeludup kebiasaannya akan menggunakan palung yang diisi dengan barang seperti gula atau minyak masak terus ke perahu yang sedia menanti di sungai. Masalahnya di sini ialah, PGA tidak mempunyai kuasa untuk merampas barang yang ada dalam sungai kerana ia berkait rapat dengan undang-undang perairan antarabangsa, walaupun lebar sungai itu hanya beberapa meter sahaja untuk memisahkan antara kedua-dua Negara ini. (Sumber: Laporan Bernama)
Langkah-Langkah Mengatasinya
Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengambil langkah proaktif bagi membanteras kegiatan penyeludupan secara habis-habisan yang didapati semakin mencabar. Antara langkah proaktif itu ialah dengan memantapkan logistik melalui perolehan bot laju dan kereta peronda baru jenis BMW, mengikut latihan pengendalian kenderaan melalui kursus pemanduan secara defensif dan latihan tempur tanpa senjata. Selain itu, terdapat beberapa strategi turut disusun bagi menjamin penyeludupan dapat dibendung seperti melalui operasi pemutihan bersepadu di kawasan tertentu dan kesan daripada tindakan ini,penyeludupan secara terus telah merosot dan hasil KDRM juga meningkat. (Sumber: Laporan Bernama)
Langkah seterusnya ialah kerajaan boleh menggalakkan penyertaan masyarakat bagi membantu membendung masalah penyeludupan. Seperti melaksanakan kempen kesedaran, supaya masyarakat sedar bahawa masalah penyeludupan ini adalah amat serius dan memberi impak yang besar kepada ekonomi Negara kita. Kerajaan juga perlu menawarkan ganjaran kepada pemberi-pemberi maklumat yang membantu siasatan. Jaminan keselamatan juga perlu diberikan kepada pemberi maklumat, kerana ia penting supaya pemberi maklumat tidak berasa terancam jika mereka memberi maklumat kepada pihak berkuasa.
Kesimpulan
Kesimpulannya, masyarakat khususnya perlulah sedar tentang keburukan aktiviti penyeludupan yang ternyata membawa kesan kepada masalah ekonomi Negara. Selain itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras. Setiap individu juga perlu memainkan peranan supaya masalah penyelupan dapat dibendung seperti tidak menjadi salah seorang daripada ahli penyeludup, membantu Negara memberi kesedaran kepada masyarakat dan melaporkan kes-kes penyeludupan kepada pihak berkuasa jika kita mempunyai maklumat mengenai kes penyeludupan ini.

No comments:

Post a Comment